suria

Akibat 'Mulut Celaka' Bunkface

Bunkface
Bunkface
Bunkface

ASSALAMMUALAIKUM dan salam sejahtera. Ramai yang tertanya-tanya kenapa ruangan Adoiii saya ini sudah tidak muncul-muncul lebih sebulan lalu? Sebenarnya saya tak hilang ke mana.

Cuma saya berada di luar negara dalam tempoh yang agak lama.

Dan sekembalinya saya ke tanah air pertengahan Disember lalu, macam-macam cerita panas hiburan yang berlaku.

Daripada isu Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM-24) yang kucar kacir, sehinggalah berjangkit kepada macam-macam kes yang tak habis-habis.

Terbaru pula isu perkataan “mulut celaka” yang dicetuskan oleh kumpulan anak muda Bunkface (gambar) menerusi lagu terbaru mereka Panik.

Lagu berkenaan telah digam oleh RTM. Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Panel Penilai Lagu Tempatan, Datuk Mokhzani Ismail, lirik lagu itu kurang sopan kerana ada perkataan “mulut celaka” pada baris akhirnya.

Saya petik sikit liriknya: Ku selalu berasingan jauh... dan ku biarkan mulut celakamu, ku tunggu-tunggu ditentukan padaku, padamu, pada mereka yang setuju...

Sebenarnya dalam banyak perkara saya kurang bersetuju dengan sikap RTM tetapi apabila badan penyiaran itu membuat keputusan tidak menyiarkan lagu berkenaan, saya tepuk tangan.

Saya melihat budaya dan adat sopan kita pada hari ini terhakis teruk.

Jika ia disemakkan dengan lirik-lirik yang biadab dan tiada budi bahasa, masyarakat akan terpengaruh dengan perkataan-perkataan busuk pada masa akan datang.

Ia amat bahaya kepada generasi muda yang sedang membesar dalam dunia teknologi sekarang ini.

Lihatlah... perkataan-perkataan biadab sudah menular dan bagaikan menjadi satu budaya yang turut dibawa oleh pengamal hiburan tempatan.

Ia bermula pada tahun 90-an apabila perkataan “lu”, “gua” mula menerap dalam diri pengikut hiburan tanah air.

Maka dalam persembahan-persembahan pentas, tercetuslah perkataan “gua caya sama lu”, “lu rock” dan macam-macamlah.

Ia adalah contoh daripada kebiadaban yang disebarkan menerusi arus hiburan sama ada menerusi lirik dan juga pertuturan.

Dalam kes lagu Panik ini, saya tidak salahkan Bunkface kerana mamat tiga orang ni memang suka buat panik. Mereka ini dilahirkan sebagai jejaka kacak.

Tetapi ketika bergambar mereka akan memaparkan imej yang tidak senonoh, terjelir lidah, ternganga dan macam-macam aksi.

Ia mungkin berpunca daripada persekitaran Bunkface sendiri yang membesar dalam kalangan mereka yang tidak senonoh perangainya.

Maka budaya “terserap” dalam diri membuatkan mereka terlupa akan keperluan menghargai budaya di negara ini yang mengamalkan sikap sopan.

Jadi apabila Bunkface menulis perkataan “mulut celaka” dalam lirik lagu mereka, mereka tidak merasakan ia satu kesalahan pun.

Dan langkah RTM yang menggam lagu berkenaan adalah tepat walaupun ramai yang berkata, orang di RTM dah makcik-makcik serta berfikiran tua.

Kalau tiada RTM yang mengambil tindakan sebegitu, suatu hari nanti penulis-penulis lirik muda tidak akan sensitif tentang kepentingan menjaga adab sopan dalam konteks budaya masyarakat Malaysia.

Tindakan itu seharusnya menjadi ikutan kepada stesen-stesen penyiaran swasta.

Kita bukannya hendak menyekat orang untuk berkarya tetapi kita harus tahu bagaimana untuk menilai dan menghargai karya.

Cuba lihat lirik-lirik lagu ilham Allahyarham Lolog. Liriknya penuh dengan makna tersirat dan cukup puitis.

Tidak kiralah lagu rock atau lagu dangdut, Loloq berjaya mengadaptasikan lirik dengan alam dan kehidupan dengan baik.

Ia sepatutnya menjadi contoh kepada penulis perkataan “mulut celaka” Bunkface itu.

NIEZAM: Sayang mulut.

Artikel Lain