suria

Kerajaan PAS Kedah Hipokrit Dalam Isu Madrasah Salihiah

ALOR SETAR: Kerajaan PAS Kedah bersikap hipokrit kerana mahu merobohkan Madrasah Salihiah, Tambang Badak di sini sedangkan dahulu mereka pernah menentang usaha menaik taraf sebuah surau di negeri lain, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata tindakan kerajaan PAS dalam isu Madrasah Salihiah membuktikan parti itu tiada prinsip perjuangan kukuh untuk membela kepentingan umat Islam.

"Bukan setakat madrasah di Tambang Badak hendak dirobohkan, tetapi saya difahamkan di Pendang juga terdapat sebuah surau dijadikan tapak perniagaan komersil. Memang kerajaan PAS Kedah hipokrit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Asyura Perdana anjuran Pergerakan Wanita UMNO Alor Setar, di sini, Ahad.

Ahmad Bashah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, berkata beliau bersyukur apabila dimaklumkan kerja merobohkan madrasah itu ditangguhkan sementara atas arahan Jabatan Agama Islam Kedah (MAIK).

"Ini adalah perkembangan positif dalam usaha menyelamatkan madrasah itu daripada dirobohkan. Saya ucapkan terima kasih kepada MAIK kerana mendengar suara hati jemaah madrasah tersebut," katanya.

Mengenai titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu qariah masih berlaku di Terengganu, Ahmad Bashah berharap kejadian itu tidak berulang di Kedah kerana ia menjadi punca perpecahan umat Islam. - BERNAMA

Artikel Lain