suria

Kejayaan AKR Dorong Kerajaan Suntik RM3 Juta Lagi

YAN: Kejayaan program AgroBazar Kedai Rakyat (AKR) yang dilancarkan pada 2009 mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan RM3 juta lagi untuk mewujudkan lebih banyak program itu di kawasan luar bandar agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

Perdana Menteri berkata AKR adalah antara program untuk mentransformasikan kedai runcit di luar bandar bagi membantu meningkatkan sosio-ekonomi penduduk kawasan luar bandar.

Katanya beliau meluluskan peruntukan RM4 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai agensi pelaksana dan kejayaan awal itu mendorong kerajaan meluluskan RM3 juta lagi tahun ini.

"Kejayaan program ini sebagai satu lagi transformasi "Strategi Laut Biru" kerajaan yang dihasilkan melalui perkhidmatan baru dan penggabungan sumber yang melangkaui sempadan jabatan dan agensi untuk dimanfaatkan.

"Melihat AKR menjana pendapatan sampingan penduduk luar bandar dan membantu pengguna berjimat cermat mendapatkan barang pada harga murah, saya luluskan RM3 juta lagi bagi melaksanakan program ini," kata Najib semasa berucap melancarkan AKR di Kampung Ruat di sini, Sabtu.

Beliau berharap suntikan itu diharap memberi faedah kepada peniaga, penduduk kampung dan juga peraih untuk mendapat keuntungan melalui usaha mereka bercucuk tanam dan berniaga.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan pemberian 8,000 anak pokok durian 'Mousang King' (D197) bermutu tinggi bernilai RM200,000 kepada penduduk Kampung Ruat dan Kampung Singkir.

Setiap rumah diberikan tiga pokok untuk ditanam yang jangka berbuah dalam masa empat setengah tahun.

Perdana Menteri turut menyampaikan motosikal roda tiga kepada usahawan FAMA pada majlis itu.

Terdahulu, Pengerusi FAMA Datuk Badruddin Amiruldin ketika berucap berkata sebanyak 240 AKR diwujudkan di seluruh negara manakala bantuan RM1 juta telah disalurkan di bawah projek pemasaran produk menggunakan motosikal tiga roda.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Wira Mohd Johari Baharom serta pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah. - BERNAMA

Artikel Lain