suria

Kedutaan AS Beri 44,000 Visa Kepada Warga Malaysia Dari Januari-Oktober Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat di sini telah mengeluarkan 44,000 visa kepada rakyat Malaysia antara Januari hingga Oktober tahun ini, kata Konsul Besarnya Timothy Scherer.

Katanya bilangan visa yang dikeluarkan itu adalah kedua paling tinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara selepas Vietnam.

"Situasi ini membuktikan kepada dunia bahawa tidak ada sikap prasangka terhadap pelancong Malaysia khususnya orang Islam, untuk melawat Amerika Syarikat," katanya pada ceramah berjudul "Travel USA-All You Need To Know" di Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di sini, malam tadi.

Beliau menolak beberapa andaian berhubungkait dengan soal mendapatkan visa Amerika Syarikat sambil menyatakan ia bukan rumit seperti dianggap.

Scherer berkata ramai salah anggap bahawa sesi temubual dengan pemohon visa adalah sesuatu yang sukar.

"Ia sebenarnya sesi temubual yang singkat dan mudah dengan bertanya mengenai tujuan lawatan, tempat yang dikunjungi dan sebagainya," kata Scherer.

Lebih-lebih lagi, katanya prosedur sama juga digunapakai untuk kedua-dua pemohon Islam dan bukan Islam.

Scherer menegaskan Kedutaan Amerika Syarikat tidak mendiskriminasikan pemohon yang mempunyai nama Islam kerana nama keluarga adalah biasa dan mereka mempunyai pangkalan data sendiri untuk menentukan profil pemohon.

Beliau juga berkata tempoh kesahan visa bagi kategori Visa B (perniagaan/pelancong) yang dikeluarkan kepada warga Malaysia adalah 10 tahun, iaitu tempoh maksimum yang ditawarkan kepada pelancong dari mana-mana negara. - BERNAMA

Artikel Lain