suria

Boo Chan Perlu Mohon Masuk Gerakan Ikut Peraturan Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR: Bekas ketua cawangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang, Lim Boo Chang perlu mengikut peraturan perlembagaan Gerakaan jika ingin memohon menganggotai semula parti itu.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata keputusan mengenai permohonan Lim untuk menganggotai semula Gerakan akan diberitahu oleh setiausaha agung parti itu.

Koh berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai permohonan Lim untuk menyertai Gerakan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu di sini Sabtu.

Presiden parti itu yang juga enggan mengulas lebih lanjut mengenai permohonan Lim berkata mesyuarat parti itu hari ini turut tidak membincangkan mengenai permohonan bekas ketua cawangan PKR itu.

Lim yang mengumumkan keluar daripada PKR pada Rabu lepas telah menyerahkan borang permohonan bagi menyertai parti Gerakan di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang pada keesokkan harinya.

Koh berkata beliau masih belum melihat surat permohonan Lim yang masih berada di pejabat parti itu di Pulau Pinang.

Mengikut Artikel 11 Perlembagaan Gerakan, permohonan Lim perlu dikemukakan oleh pejabat atau cawangan parti yang dipohonnya kepada setiausaha agung parti sebelum mendapat kelulusan Jawatankuasa Kerja Pusat parti.

Lim, 56, menyertai Gerakan pada 1984 dan pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Datuk Keramat Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1995 atas tiket Gerakan dan mengekalkan kerusi itu pada pilihan rayam umum 1999 dengan menewaskan Karpal Singh.

Bagaimanapun beliau meninggalkan Gerakan pada Disember 1999 kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan parti itu dan menyertai MCA sebulan kemudian iaitu pada 25 Jan 2000, dan menang tanpa bertanding untuk menjadi pengerusi MCA Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang pada Mac, 2002.

Pada Disember 2002 beliau digantung oleh MCA kerana enggan mengundi untuk menolak usul bagi menangguhkan cadangan pembinaan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang berharga RM1.02 bilion, yang dibawa parti pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November 2002, dan pada Julai, 2003 penggantungan keanggotaannya ditarik balik.

Pada pilihan raya umum Mac 2004 beliau dikalahkan oleh Karpal Singh untuk kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan pada April tahun itu, beliau meletakkan semua jawatan dalam MCA dan keluar daripada parti itu dan menyertai PKR pada Jun 2008, dan dilantik sebagai Ketua Cawangan PKR Bukit Gelugor. - BERNAMA

Artikel Lain