suria

M'sia-UK Meterai Perjanjian Kerjasama Berkenaan Jenayah

KUALA LUMPUR: Malaysia dan United Kingdom pada Jumaat mengesahkan Perjanjian Bantuan Dua Hala Berkenaan Jenayah, sebagai iltizam paling kukuh kerjasama antarabangsa kedua-dua pihak dalam mencegah dan mengatasi kegiatan jenayah antara negara.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, perjanjian itu membuktikan iltizam dan hasrat yang dikongsi kedua-dua negara dalam meningkatkan kerjasama menyelesaikan tumpuan terhadap ancaman jenayah merentas negara.

Beliau berkata, sudah sampai masa bagi agensi penguatkuasa undang-undang menggunakan sepenuhnya cara baru mengesan keterangan supaya penjenayah dihadapkan ke muka pengadilan dan mendapatkan kembali keuntungan yang diperolehi secara haram.

"Perjanjian yang ditandatangani itu menjadikan mudah dan melancarkan lagi proses tersebut supaya lebih cepat," katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai perjanjian tersebut antara kerajaan-kerajaan Malaysia dan United Kingdom serta Ireland Utara, di sini. Majlis bertukar-tukar suratcara pengesahan perjanjian itu melibatkan Abdul Gani bagi pihak kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Britain, Simon Mark Featherstone bagi pihak United Kingdom, di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Britain itu di sini.

Ketika berucap di majlis itu, Abdul Gani berkata, United Kingdom dan Malaysia telah sama-sama memohon kerjasama bagi mendapatkan bantuan dalam hal-hal jenayah sejak tahun 2004 di bawah undang-undang kedua-dua buah negara.

"Saya percaya kedua-dua pihak memperoleh faedah daripada kerjasama ini. Hubungan kerja yang cemerlang ini boleh berkembang dengan berkuatkuasanya perjanjian ini.

"Saya juga yakin kedua-dua negara dapat menunjukkan tolak ansur terbaik secara mempastikan demi keadilan, bantuan yang diperlukan akan diberi tertakluk kepada undang-undang kedua-dua belah pihak," tambah beliau.

Perjanjian tersebut bertujuan bagi memudahkan mekanisme dua hala dalam mengumpul keterangan untuk siasatan jenayah dan cara tindakan tanpa menjejaskan mekanisme sedia ada yang tidak formal.

Ia juga antara lain meliputi kerjasama mendapatkan keterangan menerusi proses kehakiman, dan pernyataan sukarela daripada seseorang, penyediaan dokumen yang berkaitan serta catatan, mendapatkan seseorang menolong dalam penyiasatan atau hadir sebagai saksi dalam melaksanakan urusan carian dan rampasan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Balkis Boleh Kembali Aktif

Artikel Lain