suria

Suami Isteri Dipenjara Terima Deposit Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk perdagangan dipenjara tiga tahun manakala isterinya dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima deposit lebih RM14 juta daripada orang awam tanpa lesen yang sah, lima tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Dahlan David Abdullah, 46, dan isterinya Ramunatul Aida Rahmat, 43, manakala syarikat mereka, Syarikat Jazmeen (M) Sdn Bhd, didenda RM1 juta terhadap pertuduhan yang sama.

Mahkamah turut memerintahkan suami isteri itu membayar kos pendakwaan Bank Negara sebanyak RM7,000 seorang dan jika gagal, mereka boleh dipenjara selama dua bulan.

Komathy dalam keputusannya juga memerintahkan supaya wang sebanyak RM571,410 yang ditemui di rumah mereka, dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

"Walaupun tertuduh telah mengaku bersalah tetapi ini merupakan satu kes yang serius. Mahkamah tidak boleh memberi hukuman yang lebih ringan kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar selain melibatkan kepentingan awam," kata Komathy.

Terdahulu, suami isteri itu, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan mereka tidak mengetahui tindakan itu menyalahi undang-undang selain menginsafi kesalahan yang dilakukan.

Pendakwa Raya Mohd Shukri Ahmad Mansor dari Bank Negara memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana kesalahan mengambil deposit adalah kesalahan serius bagi mengelakkan orang lain melakukan kesalahan yang sama.

Mengikut pertuduhan Dahlan dan Ramunatul yang merupakan pengarah syarikat Jazmeen didakwa melakukan kesalahan itu di Cheras Business Centre antara 29 Dis 2006 hingga 30 Julai 2008.

Bagaimanapun, kedua-duanya menghilangkan diri setelah diburu Bank Negara pada 15 Julai 2009 berhubung kesalahan itu sebelum ditemui di depan Bank Rakyat Desa Pandan pada 3 petang, Isnin lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain mereka, Syarikat Jazmeen turut berdepan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen pada waktu dan tempat yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain