suria

Lelaki Ditetak Ketika Bergaduh

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 30-an ditemui orang ramai dengan pergelangan tangan kanannya terkulai dan kaki kanan cedera dipercayai ditetak di sebuah kuarters di Tongkang Yard dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Abu berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.40 malam tadi setelah berlaku satu pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki lain yang seusia dengan mangsa.

Katanya pihaknya percaya mangsa yang cedera di pergelangan tangan dan kaki dipercayai ditetak dengan menggunakan senjata tajam sewaktu berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri segera menghubungi polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

"Polis sekarang sedang mengesan suspek dipercayai seorang lelaki India yang terlibat dengan kes ini dan kita percaya mangsa mengenali suspek terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis sedang menyiasat punca kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain