suria

Jualan Kenderaan Naik 8.6 Peratus Kepada 48,702 Unit Pada November

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan meningkat 8.6 peratus kepada 48,702 unit pada bulan November, daripada 44,845 unit yang dijual dalam bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MMA).

Bagaimanapun, jumlah jualan November pula sembilan peratus atau 4,913 unit lebih rendah berbanding Oktober, berikutan banjir yang melanda di Thailand, yang menjejaskan pengeluaran pembuatan kereta tertentu.

MAA berkata jumlah jualan untuk tempoh ke-11 bulan mengukuh kepada 552,561 unit daripada 550,391 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah kenderaan penumpang pada bulan November lebih baik kepada 42,754 unit daripada 39,375 unit yang dicatatkan sebelumnya, sementara jualan kenderaan komersil menambah kepada 5,948 unit daripada 5,470 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh Januari-November, jualan kenderaan penumpang turun kepada 492,884 unit daripada 494,264 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jualan unit komersil mengukuh kepada 59,677 unit daripada 56,127 unit yang dilaporkan.

Jumlah pengeluaran kenderaan pada November ialah pada 35,355 unit berbanding 36,265 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengeluaran kenderaan penumpang dalam tempoh kajian susut kepada 31,326 unit daripada 33,137 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas sementara pengeluaran kenderaan komersil menambah kepada 4,029 unit daripada 3,128 unit.

Untuk tempoh 11 bulan, pengeluaran kenderaan penumpang berkurangan kepada 459,876 unit daripada 484,237 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas sementara pengeluaran untuk kenderaan komersil jatuh sedikit kepada 41,879 unit daripada 41,957 unit.

Mengenai tinjauan ke hadapan, MAA berkata jumlah jualan untuk bulan Disember dijangka terus menyederhana, berikutan langkah pengguna untuk menunggu dan mengambil stok pengeluaran tahun 2012, sementara banjir di Thailand mungkin menjejaskan bekalan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain