suria

Bukan Niat Kerajaan Pancing Undi Beri Bantuan:Nazri

BESUT: Kerajaan tidak berniat untuk memancing undi melalui pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada orang ramai termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang dilaksanakan sekarang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan yang diberikan itu semata-mata bagi menjalankan tanggungjawab kerajaan membantu golongan yang susah di samping menghargai mereka yang sentiasa menolong kerajaan dan memenuhi janji bahawa rakyat sentiasa didahulukan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

"Inilah antara jenis kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang telah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pengkalan Atap di Kuala Besut pada Khamis.

Kampung itu dilanda ombak besar Ahad lepas.

Nazri berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan polemik, ucapan maupun ungkapan pembangkang yang cuba meniru pendekatan kerajaan dalam membantu mereka dengan menjanjikan slogan "negara kebajikan" sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang yang menyuruh penyokong mereka menerima setiap bantuan daripada kerajaan tetapi tidak mengajar mereka supaya bersyukur dengan pemberian, apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

"Kita beri tidak kira parti tetapi mereka suruh ambik apa yang Umno (kerajaan) beri tetapi bila tiba pilihan raya, undi mereka (pembangkang)," katanya.

Mengenai permintaan Pas supaya dua wakil kerajaan persekutuan menyertai Jawatankuasa Kajian Hukum Hudud, beliau berkata permintaan itu tidak perlu dilayan.

"Kalau benar perlembagaan Pas itu Al-Quran, kenapa pula nak salahkan Perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti di Kelantan dan Kedah.

"Kalau tidak mampu melakukannya, janganlah salahkan orang lain," katanya.

Nazri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata Majlis Keselamatan Negara sedang membuat penilaian tentang kerosakan yang dialami beberapa negeri ekoran banjir yang berlaku pada bulan lepas dan yang sedang berlaku sekarang.

Mengenai 41 keluarga di Kampung Pengkalan Atap, yang dilanda air pasang dan ombak besar itu, beliau berkata pertimbangan sedang dibuat bagi memastikan mereka mendapat bantuan manakala benteng ombak di situ yang runtuh akibat kejadian itu akan dibaik pulih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain