suria

Unit Pemantau Khas Ditubuhkan Bagi Menjamin Kualiti Produk KR1M

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan unit pemantauan khas bagi menjamin kualiti jualan produk di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), pasar raya dan kedai runcit.

Timbalan Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata unit itu ditubuhkan minggu lepas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Unit ini telah pun memulakan operasi di ibu kota dan peringkat negeri dengan lebih kurang lima orang dalam satu pasukan," katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 di sini, Rabu.

Menurutnya unit itu juga akan mengadakan pemeriksaan mengejut untuk memastikan keberkesanan operasi KR1M, pasar raya dan kedai runcit.

"Dengan penubuhan unit ini, kita harap isu-isu kualiti dan kesalahan pelabelan makanan dan komposisi tidak lagi berlaku " katanya.

Sambil meminta semua pihak memberi maklum balas untuk menambah baik produk yang dijual, Rohani menyatakan keyakinannya bahawa KR1M akan diperluaskan lagi pada masa depan berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat.

"Harganya (produk di KR1M) murah sebab kita tidak iklan dan promosi, sebab kalau jenama lain kebanyakan harganya mahal sebab kos pengiklanan dan kos ini diturunkan kepada pembeli menerusi produk," katanya.

Menurutnya pembungkusan produk juga ringkas dengan hanya logo 1Malaysia supaya harga dapat dikurangkan pada kadar paling rendah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain