suria

Takaful Ikhlas Taja Kelengkapan Sekolah Untuk 60 Kanak-Kanak

Kakitangan Takaful IKHLAS bergambar kenangan bersama kanak-kanak di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor.
Kakitangan Takaful IKHLAS bergambar kenangan bersama kanak-kanak di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor.
Kakitangan Takaful IKHLAS bergambar kenangan bersama kanak-kanak di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor.

KUALA LUMPUR: Seramai 60 orang kanak-kanak dari sekolah dan badan kebajikan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima tajaan kelengkapan persekolahan oleh syarikat pengendali Takaful terkemuka negara, Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, setiap kanak-kanak terpilih diberikan peruntukan sebanyak RM200 untuk membeli kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan beg sempena musim persekolahan yang akan bermula kembali tidak lama lagi.

Syed Moheeb berkata, melalui 'Program IKHLAS Untuk Komuniti: Back to School' diadakan sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat bagi mendekati golongan kurang berkemampuan.

"Kami berharap dengan adanya sumbangan ini dapat menolong meringankan bebanan perbelanjaan mereka menghadapi persiapan untuk memulakan sesi persekolahan mereka selepas bercuti.

"Kami juga berharap mereka boleh menumpukan perhatian kepada pembelajaran akademik tanpa merasa bimbang memikirkan peralatan sekolah yang perlu disediakan," ujarnya.

Tambahnya, untuk program terbabit, anak-kanak dari lingkungan umur tujuh hingga 16 tahun itu telah dibawa membeli kelengkapan persekolahan di gedung membeli-belah Mydin, Subang Jaya.

Dalam pada itu, kanak-kanak sekolah yang terpilih adalah daripada anak-anak yatim (asnaf) sekitar kawasan Shah Alam di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor, selain daripada Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan dan Pusat Kebajikan Compassion Home.

Ujarnya, program serupa turut diadakan oleh pejabat-pejabat Wilayah Takaful IKHLAS di seluruh negara dalam pembentukan masyarakat penyayang serta memupuk budaya bersedekah.

"Pelaksanaan ini menyeluruh di semua peringkat Takaful IKHLAS di seluruh negara dalam memastikan semua dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini," ujarnya.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di Pejabat Korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain