suria

Rang Undang-Undang BCPM Tidak Akan Diteruskan Jika Dibantah: Maximus

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tidak akan meneruskan pelaksanaan Rang Undang-Undang Lembaga Juru Komputer Profesional (BCPM) sekiranya ia dibantah oleh pengamal industri tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, jika pengamalnya melihat tiada keperluan penguatkuasaan dilakukan terhadap rang undang-undang tersebut, kerajaan tidak akan meneruskannya.

Katanya, pelaksanaan rang undang-undang tersebut bertujuan untuk melindungi sektor teknologi maklumat dan memastikan pekerjanya menepati piawaian bertaraf dunia.

"Idea pelaksanaan rang undang-undang itu dicetuskan oleh pekerja sektor berkenaan dan kita hanya memudahkan proses.

"Jika mereka menolak pelaksanaannya, keputusan bergantung kepada mereka dan tugas kami akan menjadi lebih mudah," katanya.

Rang Undang-Undang BCPM mendapat kritikan meluas daripada pengamal teknologi maklumat yang berkata, ia hanya membenarkan jurukomputer yang berdaftar dengan Lembaga Juru Komputer Profesional Malaysia akan memainkan peranan penting dalam pembangunan perisian.

Mereka mendakwa, penubuhan badan tersebut akan menyekat pembaharuan dan kreativiti sehingga mungkin menyebabkan syarikat ditutup ekoran kekurangan tenaga kerja.

Beberapa pekerja industri itu terutamanya dalam syarikat kecil juga berkata, mereka perlu mengiktiraf individu dan syarikat yang boleh membida projek Infrastruktur Maklumat Negara Kritikal (CNII) bagi mengenal pasti tender untuk syarikat terpilih.

Menurut Maximus, pengamal industri tersebut akan bertanggungjawab untuk membantu kementerian dalam merangka rang undang-undang itu dan penubuhan badan tersebut.

'Segalanya bergantung kepada industri untuk memutuskan komposisi jawatankuasa kerja badan itu, bidang kuasa dan perkara berkaitan," katanya.

Beliau bagaimanapun, berharap agar draf rang undang-undang itu boleh disiapkan sebelum atau pada pertengahan tahun depan.

"Kami akan meneruskan rundingan dan berhubung dengan pelbagai pihak. Saya percaya enam bulan sudah mencukupi.

"Kami akan mempertimbangkan segala pandangan dan komen serta berharap keputusan akhir boleh dibuat selepas itu," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain