suria

Rakyat Perlu Tolak Dokumen Negara Kebajikan Pas

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin meminta rakyat menolak Dokumen Negara Kebajikan Pas yang sarat dengan janji manis dan modal terbaru parti itu untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Pas pada tahun 2003 pernah mengemukakan Dokumen Negara Islam bagi menentang konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Namun kini, dokumen pada 2003 itu ditolak oleh Pas sendiri dan menggantikannya dengan dokumen yang baru dilancar oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang 11 Disember lepas.

"Mereka sendiri yang menolak, membuang dan mentongsampahkan Dokumen Negara Islam dan perjuangan negara Islam dengan alasan negara Islam tidak disebut di dalam Al-Quran," katanya dalam entri terbaru blognya Rabu.

Zulkifli berkata rekayasa kitab baru yang dilabel sebagai Dokumen Negara Kebajikan itu hanyalah untuk mengatasi konsep Islam yang sederhana atau wasatiyyah yang menjadi teras Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau melihat pembangkang kini tertekan dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, persoalannya ialah sekiranya Pas boleh membuang 'Dokumen Negara Islam' atas alasan tidak ada di dalam Al Quran dan menggantikannya dengan 'Dokumen Negara Kebajikan', apa yang akan menghalang mereka nanti untuk membuang 'Dokumen Negara Kebajikan' dan menggantikannya dengan yang lain.

Zulkifli berkata pendirian Pas itu juga berubah apabila mereka bersekongkol dengan DAP.

Beliau juga mempersoalkan selepas berpuluh tahun wujud, setelah bertahun-tahun diberi peluang menjadi kerajaan negeri, setelah diberi habuan menjadi wakil rakyat dan Anggota Parlimen, adakah mereka hanya mampu mendatangkan buku dan dokumen sahaja iaitu dari 'Dokumen Negara Islam', kepada 'Buku Jingga', kepada 'Dokumen Negara Kebajikan'.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti berkenaan bersama-sama parti pembangkang lain sekiranya diberi peluang mentadbir negara, susulan ucapan dasar presiden pada muktamar Pas Jun lepas yang membawa tajuk 'Membangun Negara Berkebajikan'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain