suria

PAS Gagal Halang Parlimen Daripada Luluskan Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: PAS pada Khamis gagal dalam cubaan menghalang Parlimen daripada meluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan parti itu mendapatkan kebenaran membuat satu penyemakan kehakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusuf memutuskan permohanan PAS itu tidak kena pada masa, menyusahkan, tidak penting dan juga sebagai satu salah guna proses mahkamah.

Hakim itu memerintahkan PAS membayar RM8,000 sebagai kos kepada kerajaan.

PAS memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran itu menerusi saman asal dikemukakan oleh Timbalan Presiden parti, Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Anggota Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai pihak responden.

Ketika membuat keputusannya Hakim Rohana berkata permohonan untuk mencabar rang undang-undang berkenaan telah melanggar Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempersoalkan urusan Parlimen.

"Ia juga satu campur tangan terhadap kuasa perundangan Parlimen," kata hakim itu sambil menambah bahawa pihak pemohon mempunyai segala ruang untuk mencabar rang undang-undang tersebut di masa akan datang apabila ia menjadi Akta.

Mengenai 'mandamus' dan perintah larangan untuk menghalang pihak responden daripada meneruskan proses menjadikan rang berkenaan satu undang-undang seperti diminta pihak pemohon, Hakim Rohana berkata, ia seperti memberikan terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri.

"Bagaimana kerajaan boleh menarik balik sesuatu yang telahpun diluluskan Parlimen," katanya.

Hakim itu membuat keputusannya selepas mendengar hujah Mohamed Hanipa Maidin peguam yang mewakili pihak pemohon dan oleh Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak responden.

Dalam permohonan difailkan pada 2 Disember, ketiga-tiga pemohon di pihak PAS itu antara lain meminta satu perisytiharan bahawa responden telah menyalahguna kuasa semasa mereka membentangkan rang undang-undang di Parlimen dengan tujuan menjadikannya satu undang-undang.

Pemohon mendakwa bahawa rang-rang undang itu mengandungi peruntukan yang melanggar Artikel 10(1)(b) dan 10(2)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga mereka juga meminta supaya dikeluarkan perintah bagi menyekat responden daripada meneruskan proses menjadikan rang undang-undang itu satu undang-undang dan bagi responden mengambil langkah perlu sama ada menarik balik rang undang-undang atau memindanya seiring dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain