suria

Lebih 2,000 Ulama Dijangka Hadir Majlis Perdana Ulama Bersama PM

PUTRAJAYA: Seramai lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada barisan ulama bakal menghadiri Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata majlis anjuran Jakim yang diadakan buat kali ketiga selepas 2008 dan 2010, bertujuan mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan dalam pembangunan negara dan mengekang perpecahan yang mengundang kemudaratan kepada agama dan negara.

Katanya antara barisan ulama yang akan hadir ialah mufti-mufti seluruh Malaysia, Ketua Hakim Syarie, ahli Panel Kajian Syariah dan ahli Panel Kajian Akidah Jakim, ahli panel dari Bahagian Hub Halal Jakim dan imam dari seluruh negara.

"Perdana Menteri merupakan pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang berfungsi sebagai Penasihat kepada Majlis Raja-Raja, maka forum ini adalah satu mekanisme yang lebih terbuka kepada beliau untuk mendapatkan sumbangan daripada ulama dan umara.

"Selain itu, ia bagi memberi tambah nilai kepada fungsi tersebut dan menjadi forum bagi ulama dan umara menjalin hubungan kerjasama dalam pembangunan negara," katanya dalam kenyataan di sini Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain