suria

Kerajaan Selangor Diminta Segera Selesaikan Isu Penduduk

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor diminta segera menyelesaikan isu antara penduduk Kampung Sungai Terentang di Rawang dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengenai pemasangan talian kabel elektrik di kampung berkenaan.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai yang membangkitkan perkara berkenaan berkata beliau akan berjumpa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu depan bagi mendapatkan penjelasan lanjut isu tersebut.

Beliau berkata isu berkenaan sudah lama 'tergantung' tanpa mencapai sebarang persetujuan dan beliau mahu Menteri Besar itu menyelesaikannya dengan segera kerana urusan berkaitan tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Kesal kerana sehingga ke hari ini pihak kerajaan negeri masih mendiamkan diri mengenai isu tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Khamis.

Lim berkata beliau akan berjumpa Abdul Khalid selepas mendapat arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk mencari penyelesaian masalah penduduk berkenaan.

Semasa lawatannya ke Rawang baru-baru ini, Perdana Menteri telah menerima memorandum meminta beliau menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Terentang itu.

Menurut Lim yang juga Timbalan Menteri Kewangan, TNB mahu memasang talian kabel elektrik di Kampung Sungai Terentang di bawah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah bernilai RM400 juta.

Bagaimanapun penduduk di situ membuat bantahan kerana bimbang akan terdedah kepada pengaliran elektrik melalui kabel voltan tinggi dan risiko dijangkiti kanser dan leukaemia.

Timbalan Menteri itu berkata penduduk berkenaan enggan berpindah ke kawasan lain sementara kerajaan negeri pula berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai.

Lim berkata projek TNB itu penting kerana membabitkan pemasangan talian berkapasiti tinggi 2,000 Megavolt-Ampere (MVA) dari utara Semenanjung hingga ke tengah Lembah Klang.

Katanya, litar utara ke kawasan tengah kini hampir siap, hanya jarak satu kilometer sahaja memerlukan kerja pemasangan talian kabel elektrik yang melalui Kampung Sungai Terentang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain