suria

Abdul Ghani Puji Prestasi Polis Johor

JOHOR BAHARU: Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman memuji prestasi yang dipamerkan oleh polis Johor dalam menjaga keselamatan negeri itu khasnya di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia yang pesat membangun.

Katanya di bawah kepimpinan Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, polis Johor menunjukkan komitmen yang tinggi dengan mencatatkan pelbagai kejayaan dalam membanteras jenayah.

Beliau berkata keterbukaan polis Johor yang mengadakan kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta membawa kesan positif yang memberikan imej yang baik kepada kerajaan negeri.

"Mudah-mudahan keadaan ini akan memberikan nilai tambah kepada kerajaan dan nikmatnya dilimpahkan kepada masyarakat melalui keyakinan pelabur yang memberikan kemakmuran kepada Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Penghargaan Polis Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini malam tadi.

Abdul Ghani kemudian menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohamad Othman Sebot yang bersara baru-baru ini serta anggota-anggota polis yang berkhidmat dengan cemerlang tahun ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi Persatuan Keluarga Polis Johor untuk menjalankan aktiviti persatuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain