suria

3,000 Warga Asing Dikesan Miliki Lebih Satu Identiti

KUALA LUMPUR: Hampir 3,000 warga asing dikesan mempunyai lebih daripada satu identiti dan antara mereka mempunyai rekod jenayah, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk warga asing yang mempunyai lebih daripada satu dokumen perjalanan yang dikenal pasti sebelum pelaksanaan sistem biometrik pada 1 Jun lalu.

“Kami mendapatkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan menahan mereka,” katanya kepada The Star pada Rabu.

Difahamkan, antara mereka yang disenaraihitamkan merupakan warga asing di kalangan ahli perniagaan dari negara-negara jiran, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada dan United Kingdom.

Alias berkata, warga asing yang mempunyai lebih satu dokumen tidak begitu membimbangkan kerana mereka masih orang yang sama.

“Kita berasa curiga terhadap mereka yang memiliki lebih daripada satu identiti kerana segelintir mereka mempunyai rekod jenayah.

“Penukaran identiti tersebut bagi mengelak daripada mereka dikesan dan ditahan oleh pihak berkuasa.

“Kita perlu mengetahui apakah tujuan mereka mempunyai lebih daripada satu identiti,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, terdapat kemungkinan mereka yang mempunyai lebih daripada satu dokumen telah disenaraihitamkan dan terpaksa menggunakan pasport palsu.

“Mereka mungkin menggunakan pasport yang dicuri atau mendapatkannya daripada sindiket yang menjual pasport di pasaran gelap.

“Terdapat juga keadaan di mana warga asing ‘menjual’ kewarganegaraan mereka secara persendirian kepada pihak lain,” katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain