suria

Sejuta Tong Diagih Percuma Di Melaka, Negeri Sembilan Dan Johor

MELAKA: Sebanyak sejuta tong bernilai RM120 juta akan diagih-agihkan secara percuma di setiap premis di negeri ini termasuk Negeri Sembilan dan Johor bagi memudahkan pengendalian sisa pepejal.

Pengurus Besar Kumpulan Southern Waste Management (SWM) Environment Sdn Bhd, Adnan Ibrahim berkata setiap premis kediaman akan dibekalkan dengan tong beroda dan mempunyai penutup berkapasiti 120 liter sementara 240 liter untuk premis perniagaan di tiga negeri tersebut secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga tahun.

"Pengagihan akan dilaksanakan melalui kaedah 'datang dan ambil' di mana penduduk perlu mengisi borang pendaftaran yang akan diedarkan seminggu sebelum hari kutipan berlangsung dan mereka akan dimaklumkan mengenai tarikh, masa dan lokasi kutipan.

"Objektif utama pengagihan tong tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat terhadap pembuangan sampah yang lebih sempurna melalui penggunaan tong sampah yang sesuai, seragam, tahan lasak, mesra alam," katanya pada sidang media di Cheng di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Wilayah SWM Negeri Sembilan dan Melaka Dr Md Alashari Othman, Pengurus SWM Melaka Mahadi Abd Talib dan Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Melaka Shahrudin Hamid.

SWM akan juga berkunjung ke taman perumahan dan menjemput penduduk untuk datang mendaftar dan membawa pulang tong tersebut sementara bagi pemilik warga emas atau golongan kelainan upaya, pihaknya akan menghantar tong itu ke premis mereka.

Beliau berkata kesemua tong yang diagihkan itu akan mempunyai nombor kod mengikut kawasan yang dicetak di permukaan sisinya dan butiran pemilik akan direkodkan dalam sistem pangkalan data SWM.

Katanya kaedah tersebut untuk mengelakkan berlakunya perpindahan atau pertukaran tong serta memudahkan pemiliknya mengesan tong tersebut sekiranya hilang.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 200,000 tong akan diagih-agihkan secara berperingkat-peringkat dalam masa tiga tahun di negeri ini.

Katanya bagi tahun ini dan tahun depan, agihan akan melibatkan kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sementara bagi 2013 melibatkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada 2014.

Adnan berkata agihan peringkat pertama tersebut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru iaitu Taman Bukit Katil pada 18 Dis (9 pagi hingga 6 petang) dan 19 Dis (2 petang hingga 10 malam) ini di Padang Permainan, Taman Bukit Katil.

Beliau berkata pada hari kutipan berlangsung, penduduk dikehendaki membawa borang pendaftaran yang lengkap bersama satu salinan kad pengenalan dan bil utiliti seperti air atau elektrik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain