suria

Sejumlah 4,149 Orang Sertai Program Kerja Dari Rumah - Maznah Mazlan

KUALA LUMPUR: Seramai 4,149 orang mengikuti Program Bekerja dari Rumah di bawah Kementerian Sumber Manusia sehingga November tahun ini, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Maznah Mazlan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 1,185 orang adalah dari Selangor diikuti Melaka (772) dan Kelantan (771).

"Peserta di Kuala Lumpur, Perlis dan Pulau Pinang antara yang terendah penyertaannya dengan masing-masing mencatatkan 4, 9 dan 21 orang sahaja," katanya ketika menjawab soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah yang mendapat kerja melalui program tersebut.

Maznah berkata golongan suri rumah pula merupakan peserta tertinggi program itu dengan 3,254 orang diikuti ibu tunggal (508 orang), keluarga miskin (166) dan lain-lain (100) manakala bilangan syarikat yang mengambil bahagian ialah 223.

"Program ini, yang diwujudkan untuk membantu golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), suri rumah dan keluarga miskin bagi mendapatkan pendapatan tambahan dari rumah, sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat dalam menawarkan kerja bersesuaian," katanya.

Kepada soalan lain, Maznah berkata seramai 12,638 orang berjaya mendapat kerja menerusi Program Pekerja Separa Masa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain