suria

PPDNKK Nafi Terengganu Hadapi Masalah Minyak Masak

KUALA TERENGGANU: Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) pada Selasa menafikan Terengganu mengalami kekurangan bekalan minyak masak.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri Ab Ghani Harun berkata hal ini dapat dilihat apabila minyak masak terdapat di semua kedai terutamanya pusat membeli-belah di negeri ini.

"Dakwaan mengatakan minyak masak tidak ada di Terengganu adalah tidak benar," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di pusat membeli-belah di sini Selasa.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang mengatakan minyak masak tidak dijual di sebuah pasar raya di sini.

Abd Ghani berkata laporan akhbar berkenaan boleh menimbulkan masalah kepada pengguna di negeri ini kerana ia akan menyebabkan pengguna panik.

Menurut beliau Terengganu mendapat bekalan minyak sebanyak 1,700 tan metrik setiap bulan dan bekalan itu mencukupi keperluan pengguna di negeri ini.

Beliau berkata di Terengganu terdapat 11 pembungkus minyak masak iaitu enam di sini, Marang (satu) dan dua masing-masing di Besut dan Kemaman.

"Tidak ada ketirisan minyak masak di sini kerana kita jauh dari sempadan," katanya.

Sehubungan itu, Ab Ghani berharap akhbar membuat laporan yang betul kerana isu minyak merupakan isu yang sensitif. Jika pengguna membuat pembelian panik, ia akan menyebabkan masalah kekurangan minyak masak, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain