suria

Polis Lumpuh Sindiket Edar Pil Kuda Terbesar Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis percaya berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran pil kuda terbesar di Terengganu dalam tempoh lima tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata ia ekoran daripada penahanan empat lelaki yang juga merupakan anggota sindiket itu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Perumahan Al-Amin, Bukit Payung, di sini, Isnin lalu.

Keempat-empat lelaki yang berumur antara 23 hingga 27 tahun ditahan kira-kira pukul 1 pagi dan salah seorang daripada mereka memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kita telah menerima maklumat kegiatan pengedaran dadah dalam kuantiti yang banyak yang didalangi sindiket ini sejak awal bulan lalu dan sindiket ini aktif menjalankan pengedaran ini sejak dua tahun lalu," katanya dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Katanya polis turut merampas 23,650 biji pil kuda yang bernilai RM567,600 yang disorokkan dalam sebuah beg di rumah tersebut dan menyita sebuah kereta Proton Wira, wang tunai RM2,818 dan masih mengesan harta-harta bernilai milik anggota sindiket itu.

Roslan berkata sindiket itu menggunakan modus operandi sistem perbankan untuk membuat bayaran kepada penjual dadah.

"Dadah itu dibawa masuk menerusi negara jiran dan jika dilihat kepada transaksi akaunnya, suspek aktif dalam urusan jual beli dadah ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit setiap kali transaksi dalam masa sebulan.

"Sindiket ini menggunakan sistem penghantaran secara bersemuka, bagaimanapun bayaran dadah dibuat dengan memasukkan wang ke dalam akaun," katanya.

Menurut Roslan kesemua suspek yang berasal dari Terengganu dan salah seorang yang mempunyai kad OKU yang bekerja sebagai mekanik mempunyai rekod berkaitan dadah dan pernah dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek kini direman sehingga 19 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Roslan berkata pihak polis kini sedang memburu 15 lagi anggota sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif untuk pasaran di Terengganu, Kuala Lumpur dan Pahang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain