suria

Persiapan Perkahwinan Musnah Dalam Kebakaran

KUALA TERENGGANU: Hasrat sepasang suami isteri untuk melangsungkan perkahwinan anak perempuan mereka hujung bulan ini musnah apabila semua persiapan yang telah dibuat hangus dalam kebakaran tengah hari tadi.

Rumah pasangan Asli Baring, 48, dan isteri, Zainab Salleh, 47 di Kampung Bukit Tunggal, terbakar pada 12.15 tengah hari melibatkan kerugian dianggarkan RM150,000.

Ketika kejadian, Zainab sedang menyiapkan makanan tengah hari manakala seorang anaknya, Nor Adlin Qayyum, berada di ruang tamu rumah.

Menurut Zainab, semasa memasak dia terhidu bau asap dan menyangka ada orang membakar sampah.

Bagaimanapun anaknya yang masuk ke dalam bilik menjerit memberitahunya sebuah bilik tidur rumah pusaka itu terbakar dan api semakin marak.

"Saya dan anak saya cuba memadamkan api itu sebelum dibantu jiran yang kemudian menghubungi bomba. Nasib baik ketika kejadian, tujuh lagi anak saya tidak berada dalam rumah manakala suami pula sedang bekerja," katanya.

Zainab berkata hanya kad jemputan perkahwinan anaknya, Nurul Azma, 24, sahaja yang sempat diselamatkan manakala barangan lain semuanya terbakar.

Nurul Azma yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Dis ini menetap di Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika 20 anggota bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan membakar hampir 100 peratus rumah berkenaan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu.

"Kita mengambil masa kira-kira 18 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Kami masih menyiasat punca kebakaran," katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan dua buah rumah berhampiran rosak.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang turut melawat mangsa memberikan bantuan awal RM1,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain