suria

Permohonan Dua Beradik Bakar Gereja Didengar Februari

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Februari depan untuk mendengar permohonan dua beradik yang disabitkan dengan kesalahan membakar Gereja Metro Tabernacle, untuk pelanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memaklumkan petisyen rayuan Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim dan Raja Muhammad Idzham, yang difailkan pada 18 November lepas, telah difailkan di luar masa.

Azlina berkata petisyen itu difailkan dua bulan 24 hari lewat manakala rekod rayuan difailkan pada 24 Ogos lepas.

Peguam Salim Bashir yang mewakili mereka berkata beliau dilantik pada 15 November lepas dan memfailkan petisyen itu tiga hari kemudian.

Katanya, beliau tidak tahu bila rekod rayuan diserahkan kepada peguam yang mewakili Raja Muhammad Faizal dan Raja Muhammad Idzham di Mahkamah Tinggi.

Hakim Low yang bersidang bersama Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner kemudian menangguhkan pendengaran rayuan dua beradik itu yang dijadualkan Rabu.

Raja Muhammad Faizal, 25, seorang penghantar surat dan Raja Muhammad Idzham, 23, pekerja bank, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 13 Ogos tahun lepas selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan membakar gereja itu di Jalan 4/4c, Desa Melawati pada 11.50 malam, 7 Januari 2010.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bersama beberapa orang lagi yang masih bebas mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan selesai.

Pada 30 Julai tahun lepas, rakan mereka, Azuwan Shah Ahmad, 24, yang turut didakwa melakukan kesalahan itu, dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain