suria

Menang Karangan, Dua Pelajar Malaysia Terima Sijil Kedutaan Amerika

KUALA LUMPUR: Dua orang pelajar Malaysia menerima Sijil Pencapaian Kedutaan Amerika Syarikat (AS) atas pengiktirafan karangan mereka mengenai bagaimana budak lelaki dan lelaki dewasa boleh membantu menghapuskan keganasan terhadap wanita.

Mohd Zharif Shafiq Badrul Hisam, penuntut undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Karisma Jaykant, pelajar Sekolah Menengah Seri Bintang Utara juga memenangi hadiah iPod shuffle.

Menurut kenyataan kedutaan itu di sini, Rabu, Mohd Zharif menang dalam Pertandingan Karangan kategori bahasa Melayu sementara Karisma dalam kategori bahasa Inggeris.

Karangan Mohd Zharif menekankan pentingnya Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedar).

Sementara hasil Karisma berkaitan mesej Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon bahawa "lelaki tulen tidak melanggari atau menekan wanita dan tempat wanita bukan hanya di rumah atau di lapangan, tetapi di sekolah, pejabat dan pengurusan syarikat".

Pertandingan menulis karangan itu dianjurkan oleh Pusat Sumber Lincoln untuk meningaktkan kesedaran mengenai Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadaop Wanita pada 25 Nov.

Majlis penyampaian sijil dan hadiah itu diadakan di Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain