suria

Malaysia Mahu Lahirkan Pemain Bola Sepak Jutawan

YOGYAKARTA: Sukan bola sepak mempunyai potensi besar bagi melahirkan jutawan di kalangan pemainnya dan Kementerian Belia dan Sukan kini memberi tumpuan ke arah usaha ini kepada pemain bola sepak Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana bola sepak merupakan salah satu industri sukan yang sedang berkembang pesat di peringkat dunia dengan menjana pendapatan ribuan juta dolar Amerika.

Beliau berkata seperti di Eropah, pemain di Malaysia juga berpeluang menjadi jutawan suatu hari nanti, seiring kemajuan industri sukan di rantau ini melalui pembayaran gaji yang mahal serta pendapatan menerusi penajaan.

"Harapan kita ialah, perkembangan ini akan membuka mata ibu bapa untuk menjadikan bola sepak sebagai satu kerjaya hidup yang terjamin untuk anak-anak mereka.

"Dengan itu, mereka akan menghantar anak-anak untuk latihan profesional di dalam atau di luar negara di usia muda lagi," katanya ketika di temui di sini, Rabu.

Ahmad Shabery berada di sini untuk menghadiri mesyuarat pertama Menteri-Menteri Sukan Asean (AMMS).

Menteri itu juga berkata senario semasa sukan itu di rantau Asean menjurus ke arah perkembangan seperti di Eropah.

Sebagai contoh, katanya, pertandingan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF tahun lalu mencatat rekod penonton tertinggi di Asean, setanding penonton kejohanan bola sepak di Eropah.

Beliau berkata pertandingan bola sepak yang mendapat tontonan ramai akan membuka laluan kepada penaja besar untuk melibatkan diri dalam kejohanan itu.

"Pasaran bola sepak sangat besar jika mahu diterjemahkan dalam bentuk pulangan, termasuk mengambil kira keuntungan daripada jualan tiket perlawanan, jualan barangan cenderamata dan bayaran siaran perlawanan di TV," katanya.

Ahmad Shabery amat berbangga dengan pencapaian pasukan bola sepak kebangsaan kini yang secara konsisten menunjukkan kecemerlangan dalam prestasi permainan.

Penyerang kebangsaan, Safee Sali misalnya, muncul sebagai pemain hebat sehingga dilamar bermain dengan kelab bola sepak luar negara, dan beliau yakin masa depan pemain bola sepak Malaysia akan terus cerah jika pengurusan sukan itu dilakukan secara profesional. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain