suria

Keputusan Sama Ada Dr Ling Diperintahkan Bela Diri Atau Tidak Pada 27 Januari Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Januari depan untuk memutuskan sama ada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik perlu membela diri atau tidak bagi pertuduhan menipu kerajaan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Pada Selasa peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling menggulung hujahnya di akhir kes pendakwaan.

Dr Ling, 68, didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 bagi satu kaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar itu, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Pada prosiding Rabu, Tun Abdul Majid berkata Dr Ling perlu bertanggungjawab terhadap kandungan surat kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek PKFZ kerana dia menandatangani surat itu.

Beliau berkata Dr Ling tidak boleh menyalahkan orang lain kerana dia sudah sedia maklum mengenai terma dan syarat dalam surat itu, termasuk angka 'RM25 skp berdasarkan kadar istimewa.

Tun Abdul Majid juga berkata tertuduh turut menyokong pembelian tanah terbabit serta menandatangani surat kepada Dr Mahathir bertarikh 3 April 2002 dan sepucuk lagi pada 29 Jun 2002.

"Sebagai seorang menteri, tertuduh bertanggungjawab memberikan taklimat kepada kabinet secara telus. Tertuduh menandatangani nota bertarikh 29 Oktober 2002 dan dalam keadaan biasa, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal pengangkutan serta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terletak di bawahnya, tidak ada orang lain selain tertuduh yang boleh memberikan taklimat kepada kabinet," katanya.

"Tertuduh telah memilih untuk bersetuju dengan kandungan nota itu (bertarikh 29 Okt 2002) meskipun tahu ia tidak tepat, dan memberi taklimat kepada kabinet. Dia menyembunyikan penilaian JPPH.

"Tertuduh tidak mendedahkan kepada kabinet bahawa JPPH menyaran serta mengesahkan harga pada kadar RM21 skp sebagai nilai istimewa dan dibayar tunai, dia juga tidak mendedahkan kadar RM25.82 skp jika pembayaran dibuat dalam tempoh 15 tahun, di mana semua kos termasuk faedah telah diambil kira.

"Tertuduh juga gagal mendedahkan kepada kabinet bahawa kadar RM25 skp dan ke atas boleh dipertimbangkan untuk tujuan pengeluaran bon, sebaliknya apa yang diberitahu kepada kabinet ialah kadar itu disaran dan dipersetujui JPPH," katanya.

Tun Abdul Majid berkata apa yang tidak dimaklumkan kepada kabinet ialah faedah 7.5 peratus itu adalah bagi kadar harga melebihi RM25 skp, jika tidak kabinet akan meluluskan jumlah yang lebih tinggi daripada RM1.088 bilion.

"Kabinet tidak perlu meluluskan jumlah yang terkebelakang pada 27 Jun 2007. Apa yang berlaku pada 2 Okt 2002 dan 6 Nov 2002 ialah kabinet hanya meluluskan RM1.088 bilion dan ini jelas menunjukkan kabinet didorong untuk mempercayai bahawa jumlah itu adalah termasuk faedah," katanya.

Beliau berkata tertuduh sedia maklum bahawa RM1.088 bilion bukan kos keseluruhan namun tidak mahu kabinet mengetahuinya.

Tun Abdul Majid juga berkata pendakwaan tidak perlu memanggil semua menteri termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Abdul Razak kerana kelulusan membeli tanah itu diputuskan pada jumlah RM1.088 bilion.

"Apa yang paling penting di sini ialah angka RM1.088 bilion. Tidak ada angka atau jumlah lain yang diluluskan pada November 2002, jika tidak, kabinet tidak perlu bermesyuarat pada 27 Jun 2007 untuk memberikan kelulusan terkebelakang.

"Kerajaan mengalami kerugian dari segi reputasi. Kerajaan menerusi kabinet, diperlakukan seperti pak turut. Justeru, kami memohon agar tertuduh diperintah membela diri," katanya.

Pendakwaan menutup kesnya pada 17 November lalu selepas memanggil 25 saksi termasuk beberapa bekas menteri dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan serta bekas Pengurus Besar LPK O.C. Phang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain