suria

Jurutera Bebas Daripada Pertuduhan Miliki Bahan Letupan

PETALING JAYA: Seorang jurutera dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa daripada dua pertuduhan memiliki bahan letupan dua tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap K. Saravana Kumar, 53.

Dalam penghakimannya, Ahmad Solihin berkata keterangan saksi menunjukkan mereka tidak mendengar atau melihat tertuduh melakukan kesalahan itu dan tidak ada pemeriksaan kimia bagi membuktikan bahan tersebut adalah letupan.

Saravana didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang di bawah pencawang TNB Taman Medan dan di sebuah tempat di No 4, Lorong PJS 2A/11 F, Taman Medan pada 1.30 tengah hari dan 5.35 petang, 30 Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala peguam Christopher Joseph mewakili Saravana. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain