suria

Jururawat Dipercayai Mangsa Ragut Maut Motosikal Terbabas

GEORGE TOWN: Seorang jururawat pelatih di sebuah hospital swasta maut, dipercayai diragut sebelum motosikalnya terbabas di Jalan Residensi di sini Selasa.

Mangsa yang bertugas di sebuah hospital berhampiran Jalan Pangkor, mati di tempat kejadian kira-kira 8 malam.

Menurut jurucakap polis, mangsa, G. Malathi, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda secara sendirian, dalam perjalanan dari rumahnya di Gelugor ke tempat kerja.

"Mangsa berpakaian kemeja T berlogokan hospital swasta itu ditemui terbaring di pembahagi kiri jalan, manakala motosikalnya berada dalam jarak lebih kurang 10 meter," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata polis masih menyiasat punca kejadian iaitu sama ada mangsa diragut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan kes akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu membuat laporan di balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain