suria

Ibu Maut Dalam Perjalanan Ambil Anak Balik Kerja

GEORGE TOWN: Seorang wanita yang dalam perjalanan menjemput anaknya pulang dari tempat kerja terbunuh dalam satu kemalangan langgar lari di Jalan Batu Lancang di sini pada 1.30 pagi tadi.

Ooi Hai Keok, 52, yang mati di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta sebelum diseret kira-kira 100 meter, kata jurucakap polis.

Anak Ooi yang bekerja di sebuah restoran makanan segera yang menunggu lama cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit ibunya itu tetapi dijawab oleh seorang lelaki yang memaklumkan Ooi terlibat dalam kemalangan.

"Anaknya yang terkejut dengan berita itu terus berjalan lebih lima kilometer dari tempat kerjanya ke tempat kemalangan dan sebaik sampai dia terus meraung melihat mayat ibunya," kata jurucakap itu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota berwarna hitam melanggar motosikal yang ditunggangi Ooi sebelum pemandunya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain