suria

Hab Pendidikan Bantu Pertumbuhan Pembangunan Sandakan

SANDAKAN: Pengwujudan Hab Pendidikan Sandakan akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan pembangunan di daerah itu, kata Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain.

Katanya kawasan itu yang sebelum ini hanya satu perkampungan dan meliputi tanah milik persendirian kini telah berubah wajah.

Menurutnya selain bangunan universiti dan kolej, pembinaan kemudahan seperti jalan raya, elektrik, bekalan air dan sistem telekomunikasi juga dilaksanakan di kawasan itu.

"Hab Pendidikan Sandakan akan menyumbang kepada pembangunan daerah ini terutama di sekitar kawasan yang termasuk di bawah Dewan Undangan Negeri Sibuga dan Parlimen Libaran," katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai pembangunan Sandakan kepada peserta Kembara Media di sini Selasa.

Hamsan berkata pada masa ini, kampus Sekolah Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah sudah memulakan operasi sejak Oktober lepas.

Katanya pada awal tahun depan, Politeknik Sandakan dan Maktab Rendah Sains Mara akan memulakan operasi masing-masing.

Hamsan berkata sebuah bandar satelit akan dibuka di kawasan Hab Pendidikan Sandakan bagi menampung keperluan pelajar dan pekerja di institusi pengajian tinggi dan kolej yang membuka cawangan di situ.

Beliau berkata antara yang merancang membuka cawangan di Hab Pendidikan Sandakan itu ialah Universiti Tun Abdul Razak, Akademi Latihan Jabatan Pengangutan Jalan dan Akademi Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain