suria

Enam Terbunuh Dalam Kemalangan Berasingan Di Perak

IPOH: Ibu dan anak antara enam mangsa yang terbunuh dalam kemalangan berasingan di negeri ini pada Selasa.

Dalam kejadian di Km 91 Jalan Ipoh-Butterworth dekat Bagan Serai seorang ibu bersama anaknya terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tembok konkrit di tepi jalan.

Ketua Polis Trafik Negeri Superitendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 5.30 petang semalam Nor Idawati Md Isa 26 dan anak perempuanya Nur Efa Eliana Mohamad Faizal berusia setahun. Mereka berasal dari Pendang, Kedah.

Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping sejam selepas kejadian, katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Abdullah berkata, pemandu kereta yang juga suami mangsa, Mohamad Faizal Abdullah, 28, bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Pengkalan Lumut hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Faizal dikatakan hilang kawalan selepas salah satu tayarnya pecah menyebabkan kenderaan itu terbabas lalu merempuh tembok konkrit di tepi jalan.

Semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari Semanggol ke Taiping.

Sementara itu dalam kejadian di Km 367.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River seorang pemandu lori terbunuh selepas kenderaannya terbabas dan terbalik di tengah jalan.

Mangsa V.Vinayagumurti, 45, berasal dari Taman Rishah di sini yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku pada pukul 5.50 petang apabila lori yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari selatan ke utara dikatakan terbabas ke tengah jalan dan terbalik dan pada masa yang sama sebuah kereta dan bas ekspres yang mengekori lori berkenaan merempuhnya. Bagaimanapun pemandu kereta dan bas bersama penumpang terselamat.

Dalam kejadian lain di Langkap, Teluk Intan seorang remaja wanita berusia 18 tahun terbunuh selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah kereta lain di KM 6 Jalan Changkat Jong-Teluk Intan.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam Selasa mangsa Chan Kean Yee berasal dari Langkap yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HOspital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Dua lagi mangsa masing-masing pejalan kaki terbunuh selepas dirempuh kenderaan ketika sedang melintas jalan.

Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari mangsa Kamari Toha, 57, berasal dari Lekir dirempuh kereta ketika melintas jalan di Batu 5 Jalan Lekir-Sitiawan, manakala seorang lagi wanita pejalan kaki Hasinah Samsuddin, 70, terbunuh selepas dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Jelapang-Chemur dekat sini pada pukul 12.55 tengah hari pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain