suria

Banjir: Lebih 20 Kanak-Kanak Taska Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Hujan lebat selama lebih satu jam sejak pukul 4 petang Selasa, menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk.

Di Jalan Semarak seramai 23 orang kanak-kanak berumur antara tiga bulan hingga 9 tahun serta tiga orang guru sebuah taska diselamatkan dalam operasi banjir kilat.

Seorang Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelatek dan Jinjang bergegas ke tempat kejadian dan sebuah bot digunakan apabila air dari Sungai Bonus melimpahi tebing sehingga mencecah 1.5 meter.

"Selepas selesai memindahkan kesemua mereka ke surau berdekatan di kawasan yang lebih tinggi, kami kemudian memindahkan 20 orang pelajar Multimedia College Sdn Bhd yang berada di bangunan bersebelahan taska itu," katanya.

Seorang guru, Rodiah Yahya, 28 ketika ditemui berkata, air naik begitu cepat hingga memaksanya memindahkan kanak-kanak ke tingkat dua taska tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Air naik sampai paras dada..nasib baik sudah letak kanak-kanak ke tingkat dua..kami juga sempat selamatkan barang-barang dari dihanyutkan...selepas setengah jam, ada anggota bomba datang membantu kami," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Business Operation TM Training Centre Abdullah Othman, 51, berkata, sebanyak lima buah kereta dan tiga buah motosikal tidak dapat diselamatkan dalam kejadian tersebut.

"Sepanjang 29 tahun saya di sini, inilah yang terburuk..sudah dua kali berlaku banjir di mana yang pertamanya pada Februari tahun ini...pada ketika itu 67 kereta tidak dapat diselamatkan", katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Jalan Semarak mendapati lampu jalan tidak berfungsi manakala trafik perlahan serta beberapa buah kereta tersadai kerana rosak akibat banjir.

Dalam pada itu, sebahagian Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara Malaysia digenangi air sehingga menyebabkan ribuan kenderaan terperangkap dalam kesesakan yang teruk.

Pemangku Ketua Trafik Kuala Lumpur Supt Rusli Mohd Noor pula berkata selain Jalan Tun Razak dan Jalan Semarak, jalan lain yang terlibat termasuk Jalan Kuching, sekitar Taman Wahyu, Bulatan Dato Onn berdekatan Bank Rakyat dan sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas.

Bagaimanpun katanya kesemua jalan boleh dilalui apabila banjir mulai surut pada pukul 7 malam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain