suria

207 Usahawan Sertai Promosi Kraf Malaysia 2011

JOHOR BAHARU: Seramai 207 usahawan kraf dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan menyertai Promosi Kraf Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Plaza Angsana di sini mulai Khamis ini sehingga 25 Disember.

Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Johor Nor Azmi Ismail berkata acara yang akan berlangsung itu merupakan yang terbesar diadakan di kawasan selatan tanah air.

"Promosi Kraf Malaysia 2011 mahu meluaskan pasaran dan promosi pelbagai produk pengusaha kraftangan negara ini dan kita berharap, rakyat tempatan dan luar negara terutamanya dari Singapura mengambil peluang mendapatkan produk pada harga yang amat kompetitif," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, memandangkan hanya usahawan kraftangan tulen yang akan menyertai promosi ini dengan tiada penglibatan "orang tengah," maka harga-harga produk yang ditawarkan adalah amat menarik.

Katanya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual merasmikan Promosi Kraf Malaysia 2011, Jumaat ini.

Nor Azmi berkata pihaknya mensasarkan kira-kira 50,000 pelawat dari dalam dan luar negara mengunjungi promosi itu sepanjang ia berlangsung selama hampir dua minggu.

Katanya pelbagai acara menarik telah disediakan sepanjang promosi itu termasuk demonstrasi pembuatan kraf seperti batik canting, anyaman rotan, ukiran kayu, pembuatan alat muzik seperti gambus, kuda kepang dan angklung serta lain-lain.

"Selain itu kita juga menyediakan demonstrasi permainan rakyat seperti gasing pangkah, congkak, wau serta aktiviti interaktif kraf seperti mewarna batik blok dan anyaman rotan," katanya.

Katanya Promosi Kraf Malaysia 2011 turut disertai oleh 32 usahawan kraftangan dari Johor.

Beliau berharap orang ramai mengunjungi promosi itu yang julung-julung kali diadakan di selatan tanahair bagi memberi sokongan terhadap industri kraftangan negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain