suria

18 GLC Terbesar Capai Kemajuan, Berada Pada Kedudukan Kukuh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar menerusi program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCT) mencatat kemajuan ketara, dan kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh berbanding semasa program itu bermula pada Mei, 2004.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata kedudukan itu dapat dilihat berdasarkan kedudukan GLC berkenaan yang tidak terjejas teruk semasa krisis kewangan global yang berlaku pada tahun 2008/2009 dan prestasi syarikat pada kedudukan pertumbuhan kukuh sejak itu.

Menurut beliau antara prestasi utama yang dicapai setakat 25 Nov lepas ialah permodalan pasaran 18 GLC tersebut meningkat sekali ganda kepada RM319 bilion sejak permulaan program pada tahun 2004 manakala jumlah pulangan pemegang saham (TSR) GLC menyaksikan peningkatan terkumpul sebanyak 13.6 peratus setahun sejak 14 Mei 2004.

"Pendapatan agregat 18 GLC itu telah meningkat 80 peratus kepada RM17.3 bilion pada tahun kewangan 2010 berbanding RM9.6 bilion pada tahun kewangan 2004.

"Sejumlah 72 peratus daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) GLC telah dicapai pada tahun kewangan 2010, meningkat daripada 64 peratus pada tahun kewangan 2009," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Brodie yang bertanyakan kedudukan terkini prestasi GLC yang telah melalui program transformasi.

Sementara itu, Lim berkata usaha sedang giat dilaksanakan oleh GLC yang mencatatkan keputusan kewangan yang kurang memberangsangkan bagi mengatasi isu-isu yang dihadapi dengan mengadakan kerjasama dengan syarikat pesaing dan sektor swasta, di samping menumpukan kepada sektor pertumbuhan baharu serta rancangan semula segmen pasaran.

Katanya masalah yang dihadapi oleh GLC-GLC ini berpunca daripada beberapa isu di luar kawalan syarikat yang berkaitan dengan struktur dan sektor masing-masing, termasuk peningkatan harga minyak, kekurangan bekalan bahan mentah serta mekanisme penetapan harga barangan dan perkhidmatan.

"Beberapa GLC yang mencatat kewangan yang kurang memberangsangkan, termasuk Malaysian Airline System Bhd (MAS), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Proton Holdings Bhd (Proton).

Menurut beliau memandangkan GLC merupakan syarikat tersenarai, Lembaga Pengarah syarikat masing-masing bertanggungjawab memantau prestasi pengurusan syarikat GLC dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya prestasi GLC tidak mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengarah syarikat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain