suria

Wanita Maut Selepas Kereta Terbalik Dalam Kolam Memancing

KUALA PILAH: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah kolam memancing di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kampung Gedang, dekat sini Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, maut akibat lemas selepas terperangkap di dalam kenderaannya yang terbalik di dalam kolam berkenaan.

Seorang penduduk, Abd Samad Malik, 42, berkata ketika kejadian dia berada di tepi jalan berhampiran tempat kejadian sebelum melihat sebuah kereta jenis Honda Integra dari arah Kuala Pilah cuba memotong sebuah lori treler yang membawa muatan batu.

Bagaimanapun, katanya ketika memotong tiba-tiba muncul sebuah bas dari arah bertentangan menyebabkan kereta terbabit cuba masuk semula ke laluan asal tetapi gagal.

Kereta itu kemudiannya bergesel dengan bahagian hadapan lori lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik beberapa kali sebelum terjunam ke dalam kolam yang terletak kira-kira 10 meter dari jalan.

"Saya dan beberapa penduduk lain kemudiannya cuba membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal kerana keadaan kereta yang terbalik dan tenggelam di dalam kolam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai kemudiannya cuba menggunakan sebuah lori bagi menarik kereta tersebut keluar dari kolam namun gagal kerana keadaan tanah di tepi kolam yang licin dan berlumpur.

"Selepas gagal untuk membantu kami kemudiannya hanya menunggu pihak Bomba yang tiba beberapa minit selepas itu," jelasnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Lain