suria

Remaja Bawah Umur, Kanak-Kanak Antara 28 Ditahan Dalam Operasi Pusat Hiburan

MELAKA: Seramai 28 orang termasuk enam remaja bawah umur dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Md Azmi Othman berkata kesemua yang ditahan berusia antara 13 dan 29 tahun itu disyaki memiliki pelbagai jenis dadah ketika serbuan dilakukan di salah sebuah bilik karaoke pusat hiburan tersebut kira-kira pukul 2.45 pagi.

Beliau berkata kanak-kanak yang ditahan dalam operasi tersebut merupakan anak kepada seorang pelayan yang turut ditahan kerana memiliki dan positif dadah jenis syabu dan estacy.

Katanya 'Operasi Pusat Hiburan' yang melibatkan 13 pegawai dan anggota polis dari jabatan itu diketuai Cif Inspektor Mohd Hisham A.Rahman itu adalah hasil maklumat orang awam.

"Seramai 32 orang diperiksa dalam dua bilik berasingan namun hanya 28 ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai dadah jenis syabu, estacy,'eramin 5' dan serbuk ketamin yang ditemui berselerak dalam sebuah dulang.

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan, seramai 13 orang iaitu 12 lelaki dan seorang wanita didapati positif pelbagai jenis dadah," kata ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998). - BERNAMA

Artikel Lain