Penyamun Parah Dibelasah, Cubaan Samun Kedai Emas Gagal - Semasa | mStar

Penyamun Parah Dibelasah, Cubaan Samun Kedai Emas Gagal

KUALA TERENGGANU: Jeritan seorang pemilik sebuah kedai emas di Pekan Batu Enam di sini pada Selasa berjaya menyelamatkan kedainya daripada disamun oleh seorang lelaki.

Tindakannya itu bukan sahaja dapat menyelamatkan kembali barang yang disamun malah perompak berkenaan turut ditangkap dan dipukul oleh orang ramai yang menyedari kejadian itu.

Pemilik kedai berkenaan Syarifah Ayub, 32, berkata semasa kejadian dia bersama seorang lagi pekerja berada di dalam kedai sebelum didatangi seorang lelaki yang berusia 30-an ingin membeli barangan kemas, kira-kira pukul 2 petang tadi.

Katanya lelaki itu menunjukkan rantai emas yang ingin dibelinya dan pekerjanya mengeluarkan barangan tersebut daripada ruang pameran.

Bagaimanapun apabila rantai yang berharga RM6,000 dikeluarkan lelaki terbabit terus melarikan diri bersama rantai dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari kedai itu tetapi cubaannya menghidupkan enjin kereta itu gagal.

"Panik dengan kejadian itu saya terus menjerit dan jeritan saya didengari oleh orang ramai yang berada berhampiran kedai sebelum bertindak mengejar perompak tersebut.

"Selepas gagal menghidupkan enjin kereta, dia kemudiannya mencampakkan rantai emas itu sebelum melarikan diri ke arah pasar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Perompak berkenaan berjaya ditahan oleh orang ramai selepas berlari sejauh kira-kira 500 meter.

Akibat kejadian itu suspek yang berasal dari Kelantan itu dilaporkan cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain