NFC Jangan Bebankan Umno - Syed Ali - Semasa | mStar

NFC Jangan Bebankan Umno - Syed Ali

KUALA LUMPUR: Kontroversi melibatkan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak wajar dibiarkan membebankan Umno, kata Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

Mengingatkan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail supaya tidak membebankan UMNO dengan isu syarikat itu, beliau berkata sikap berdiam diri dan enggan tampil menjawab segala tuduhan yang dilemparkan pembangkang terutama menerusi laman-laman blog, boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, kalau benar tiada penyelewengan, buatlah penjelasan terbuka secara terperinci dan kalau salah, ambillah tanggungjawab kerana wang terlibat adalah hak rakyat.

"Hari ini orang bercakap NFC itu ada kaitan dengan UMNO, parti dituduh lindungi penyelewengan dan sebagainya, tentulah tidak adil kerana UMNO tiada kaitan dengannya.

"Kita di bawah (peringkat cawangan dan bahagian) diserang dengan macam-macam tuduhan pasal NFC, malah ada yang kata UMNO bela lembu untuk kepentingan Shahrizat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil), apa yang kita nak jawab dan siapa yang perlu bertanggungjawab?" katanya dalam entri terbaru laman blog Umnocheras.blogspot.com.

Oleh itu, katanya, jalan terbaik ialah Mohamad Salleh perlu berterus-terang manakala isteri beliau pula, Shahrizat perlu segera melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.

Paling sedih, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sasaran pembangkang apabila dilemparkan tuduhan kononnya melindungi keluarga Shahrizat.

"Mengapa pula UMNO, Najib dan Muhyiddin yang jadi sasaran, takkan kerana isu NFC dan Shahrizat pula pegang jawatan Ketua Wanita UMNO, mereka berdua dipaksa memikul biawak hidup, tentulah tidak adil dan kejam persepsi sedemikian," katanya.

Beliau berkata itulah kaitan yang sedang hebat disebarkan pembangkang dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan BN.

Syed Ali mengulas desakan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap Mohamad Salleh agar lebih agresif menjawab tuduhan terbaru mengenai projek NFC bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Puad berkata tuduhan terbaru berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Antara yang turut bersuara meminta Shahrizat meletak jawatan ekoran isu ini ialah Anggota Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghafur Salleh dan timbalan setiausaha Pemuda MCA Loh Chew Jun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Noor Arfa Holding Raih Anugerah Korporat Mara

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain