suria

Lima Ditahan, Barangan Bernilai RM2.2 Juta Dirampas

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya menahan lima orang dan merampas minuman keras dan rokok putih bernilai hampir RM2.2 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Lembah KLang pada Jumaat lepas dan malam Ahad lepas.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata pada pemeriksaan pertama di sebuah gudang awam di Jalan Telok Kapas, Rantau panjang, Kapar pada pukul 11 pagi Jumaat lepas, kastam menemui dua unit kontena yang bermuatan minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria serta rokok putih berjenama Cordon.

"Melalui pemeriksaan itu, kastam berjaya merampas 1,536 crate minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria yang kesemuanya mengandungi 36,864 tin minuman. Turut dirampas ialah sebanyak 9,800 karton rokok putih.

"Kesemua barangan ini bernilai RM153,296 dengan nilai cukai RM1.238 juta," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Isnin.

Katanya, kastam juga menahan dua orang pemandu lori kontena dan dua orang pegawai eksekutif gudang tersebut yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 40 tahun.

Abdul Azis berkata dalam serbuan kedua pada hari sama di sebuah premis tidak bernombor di Balakong kira-kira pukul 3.20 petang, kastam turut merampas 1,678 crate minuman keras berjenama bernilai RM92,193 dan melibatkan cukai RM119,262.

Beliau berkata kastam turut menyita empat buah lori yang diletakkan di premis itu yang dipercayai digunakan untuk tujuan memindahkan barangan belum dilulus Kastam.

Katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat pada kes itu.

Sementara itu, katanya kastam menahan seorang pemandu lori berumur dalam 40-an dan merampas 1,920 crate minuman keras berjenama Hollanda bernilai RM570,123 termasuk cukai dalam serbuan di Jalan Kurau, Pelabuhan Utara di sini pada kira-kira pukul 7.30 malam Ahad lepas.

"Penahanan ini adalah hasil intipan yang dibuat penguatkausa kastam ke atas sebuah lori yang keluar dari Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dipercayai bermuatan minuman keras belum lulus kastam.

"Pasukan telah mengekori lori tersebut sehingga ke kawasan Jalan Kurau, Pelabuhan Klang dan menahan lori itu bersama pemandunya," katanya.

Kelima-lima suspek disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Lain