suria

Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Peguam Dikekalkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Isnin, mengekalkan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara yang mendapati peguam-peguam Datuk Seri M.Kayveas dan isteri diplomatnya bersalah kerana salahlaku.

Panel tiga anggota terdiri daripada Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Zainun Ali dan Anantham Kasinater sebulat suara menolak rayuan terhadap keputusan lembaga itu.

Hakim Low berkata panel itu tidak dapat mengesan sebarang kesilapan di pihak Mahkamah Tinggi yang membolehkan rayuan diteruskan.

Beliau berkata tidak terdapat merit dalam rayuan itu.

"Kami berpendapat lembaga disiplin tidak melakukan sebarang kesilapan penghakiman dalam mengendali prosiding disiplin terhadap perayu," kata hakim itu.

Hakim berkata kedua-dua perayu adalah peguam bela dan peguam cara pada masa berkenaan dan mereka tertakluk di bawah Akta Profesion Guaman 1967.

Kayveas, presiden Parti Progresif Penduduk, juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan isterinya Datin Blanche O'Leary, Pesuruhjaya Tinggi ke Papua New Guinea, telah diarah oleh lembaga itu membayar penalti RM5,000 tiap seorang pada 17 Mac, 2005, kerana salahlaku melanggar syarat-syarat amanah sebagai pemegang kepentingan dalam transaksi jual beli harta antara dua syarikat.

Mereka gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi yang pada 10 September 2009 mempertahankan keputusan lembaga itu.

Kedua-dua mereka menamakan Majlis Peguam sebagai responden tunggal dalam rayuan sivil difailkan pada 14 April, 2005. -BERNAMA

Artikel Lain