suria

Kastam Rampas Gading Gajah, Kraftangan Bernilai RM4 Juta

PELABUHAN KLANG: Kastam Selangor berjaya menumpaskan cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup 15 tan (15,000kg) gading gajah dan kraftangan diperbuat daripada gading bernilai RM4 juta di Pelabuhann Barat di sini. Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata gading berkenaan berasal dari Kenya dan kraftangan ditemui dalam sebuah kontena berukuran enam meter (20 kaki) panjang ditahan menerusi satu sistem pengesan Khamis lepas dan diperiksa dengan teliti, Isnin.

"Kontena ditahan hasil maklumat orang awam. Apabila diperiksa dengan teliti pihak kami menemui bungkusan gading gajah itu diisi dalam kotak berwarna coklat dalam kontena di bahagian belakang bersama kraftangan," katanya di satu sidang akhbar di sini, Selasa.

Azis berkata siasatan awal mendapati gading yang diisytiharkan sebagai 'kraftangan diperbuat daripada batu sabun' itu dalam pemindahan ke pelabuhan Tanjong Pelepas dari Pelabuhan Mombasa, Kenya, menuju destinasi terakhir di Sihanoukville, Kemboja. "Pihak kami berjaya memintas barang-barang tersebut di Pelabuhan Barat," katanya.

Menurut Azis, pihak Kastam akan menyerahkan kraftangan tersebut dipercayai diperbuat daripada gading ke Jabatan Kimia bagi menentukan bahannya.

Beliau berkata belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengisytiharkan barang-barang secara salah.

Jika sabit kesalahan pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau dihukum kedua-duanya sekali.

Ini adalah cubaan kali keempat tahun ini untuk menyeludup masuk gading gajah ke negara ini. Pada bulan September lalu Jabatan Kastam menggagalkan cubaan menyeludup dua tan (2,000 kg) gading gajah bernilai RM3 juta di pelabuhan yang sama.

Dilaporkan juga lebih 1,000 batang gading gajah dirampas pihak berkuasa tempatan selepas menumpaskan dua lagi cubaan menyeludup barang yang sama melalui pelabuhan Pasir Gudang dan Butterworth, dalam tempoh dua bulan lepas - BERNAMA BERNAMA VSS AKT HBS1 13/12/2011 18-26ST

Artikel Lain