suria

Kanak-Kanak Dikhuatiri Lemas Tergelincir Dalam Parit

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dikhuatiri lemas setelah tergelincir ke dalam parit besar berhampiran rumahnya di Bandar Putri Jaya Hill Park di sini kira-kira pukul 5 petang Isnin.

Mohd Sulaiman Mohd Zakaria, yang bermain bersama tiga lagi rakannya di kawasan itu, dipercayai ingin turun ke dalam parit tersebut untuk mandi bersama seorang lagi rakannya namun dia tergelincir.

Rakan mangsa, Mohd Isharudin Mohd Jamil, 7, turut terjatuh ke dalam parit itu tetapi sempat menyelamatkan diri manakala Mohd Sulaiman dihanyutkan arus deras ke tasik berhampiran.

Bapa Mohd Isharudin, Mohd Jamil Din, 38, berkata dia mendapat tahu tentang kejadian itu setelah anaknya balik ke rumah sambil menangis dan memberitahu Mohd Sulaiman jatuh dan dihanyutkan arus.

"Saya segera memanggil seorang jiran untuk pergi menyelamatkan Mohd Sulaiman. Semasa saya sampai, saya lihat air memang banyak. Paras air tinggi dan air tasik deras. Saya bersama rakan terjun ke dalam tasik untuk mencari Sulaiman tapi tidak berjumpa," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Mohd Jamil berkata anaknya sempat diselamatkan oleh seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai Lutfi.

"Lutfi membaling sebatang kayu kepada anak saya dan anak saya sempat memaut kayu itu kerana dia hanya jatuh di tepi longkang sahaja tetapi Sulaiman tidak sempat memaut kayu itu kerana air deras hingga membawanya ke tengah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Rosdi Ismail berkata pihaknya mendapat panggilan tentang kejadian itu kira-kira pukul 5.30 petang dan tiba di tempat kejadian 22 minit kemudian.

Katanya 14 anggota bomba termasuk anggota penyelam (skuba) bersama sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian. Beliau berkata semasa sampai di tempat kejadian, air tasik berada pada paras 1.85 meter dan agak deras.

"Operasi mencari dan menyelamat terpaksa diberhentikan pada pukul 7 petang kerana keadaan yang semakin gelap namun kita akan teruskan pemantauan sehingga pukul 12.30 tengah malam Isnin. Jika tidak jumpa juga, kita akan teruskan operasi mencari dan menyelamat pagi Selasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain