suria

Dua Lelaki Didakwa Pecah Rumah, Curi Harta Benda Pegawai Polis

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas pertuduhan pecah rumah dan mencuri barangan dari rumah seorang pegawai polis, Jun lepas.

Muhammad Elham Jamaluddin seorang jurugambar sambilan dan Muhammad Izak Umar Baki seorang penganggur didakwa memecah masuk rumah Mohd Azani Omar, 37, di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Jalan Travers, Brickfields di sini antara 1 petang 9 Jun hingga 10 pagi 10 Jun lepas.

Mereka didakwa melarikan sebuah kereta jenis Toyota Altis, sebuah televisyen, tiga bentuk cincin emas dan seutas jam yang kesemuanya bernilai kira-kira RM92,000.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Zulkpli Abdullah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan tersebut.

Sementara itu, Muhammad Elham juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua mencuri dan menyimpan harta curian iaitu dua buah kamera, milik V.G. Shila, 45, Jumaat lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah D4, Balai Polis Petaling, Batu 5, Jalan Klang Lama di sini pada 8.45 malam, 2 Dis lepas.

Muhammad Elham didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman enam bulan hingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Zulkpli kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes. Muhammad Elham membayar jaminan tersebut.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin. - BERNAMA

Artikel Lain