suria

Belia Adalah 'Superhero' Bagi Program Transformasi Jadi Kenyataan:Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.

Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya.

"Tetapi suara golongan muda bukan hanya semata-mata sebagai kritikan tetapi perlu mengemukakan idea untuk penyelesaian.

"Mereka ini seperti 'superhero' kepada negara kerana mempunyai kuasa untuk berubah dan sekiranya semua wira unggul bekerjasama dengan kerajaan maka program transformasi lebih mudah untuk menjadi kenyataan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutupan sidang kemuncak belia berjudul "Membentuk Masa Depan Kita" yang dihadiri oleh kira-kira 500 pelajar universiti awam dan swasta di sini Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria.

Sidang tiga hari itu antara lain membincangkan secara terperinci bidang tertentu dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) serta mentafsirkan Program Transformai Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di mata golongan belia.

Perdana Menteri berkata maklum balas positif merupakan kunci kejayaan kepada sasaran setiap negara bagi mencapai status negara maju.

"Kini anda sedar bahawa anda boleh melakukan perubahan kepada negara sekiranya anda menyumbang secara bersama kepada pembangunan negara. Oleh kerana itu kami mahu mendengar suara rakyat dan belia sebagai sebahagian daripada proses pembangunan," jelasnya.

Najib berkata kerajaan sedang berusaha keras untuk mewasiatkan sebuah negara yang stabil dan kukuh untuk generasi akan datang.

"Saya percaya apabila kita menyerahkan baton kepada generasi akan datang, kita mahu meninggalkan sebuah negara yang kukuh dan makmur dan sebuah negara yang menjadi kebanggaan semua.

"Apabila anda menerima baton, anda perlu berlari dengan lebih jauh lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain