suria

APMM Lakukan 80 Tangkapan Babitkan 561 PATI

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melakukan 80 tangkapan yang melibatkan 561 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga bulan ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata daripada jumlah itu PATI dari Indonesia mendahului jumlah tangkapan dengan 275 orang, diikuti Filipina 117 orang, Myanmar 129 orang, Thailand 13 orang, Kemboja 12 orang, Afghanistan 13 orang dan Vietnam dua orang.

"Bagi memastikan keselamatan perairan negara terus selamat dan terkawal daripada pencerobohan dan ancaman pihak luar, APMM akan terus melaksanakan pengawasan dan operasi penguatkuasaan maritim sepanjang masa terutamanya di kawasan titik panas.

"Antara kawasan tersebut adalah Batu Pahat, Tanjung Pengelih, Pengerang, Sungai Rengit dan Mersing di Johor, Tanjung Gemuk (sempadan Johor-Pahang), Port Dickson di Negeri Sembilan, Klang di Selangor dan Tawau di Sabah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk P.Subbaiyah di persidangan Dewan Negara di sini Selasa.

Subbaiyah ingin tahu tentang dakwaan bahawa tahap integrasi pegawai penguatkuasa dan kepakaran APMM yang rendah menjadi punca mudahnya PATI memasuki perairan negara ini.

Selain pengawasan dan pemantauan oleh APMM, Ahmad juga berkata Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang dilengkapi sembilan buah radar turut ditempatkan di pesisiran pantai barat Semenanjung Malaysia.

"Keupayaan SWASLA juga telah dinaik taraf dengan pemasangan kamera bagi mempertingkatkan keberkesanan pengesanan suspek yang mencurigakan di perairan tersebut bagi tindakan susulan oleh aset laut APMM," katanya.

Menjawab soalan asal anggota yang sama berhubung langkah kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI, Ahmad berkata APMM amat prihatin dan komited sepenuhnya dalam usaha mencegah dan membanteras masalah ini melalui operasi penguatkuasaan, perundangan dan politik.

"APMM juga sentiasa bekerjasama dengan komuniti maritim, rakyat tempatan dan agensi penguatkuasa lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dalam menangani isu jenayah maritim ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain