suria

Tiada Gunanya Selangor Maju Jika Negeri, Rakyat Berselisih Faham: Sultan Sharafuddin

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tiada gunanya Selangor diakui sebagai negeri maju jika negeri ini dan rakyatnya bergelora kerana perselisihan faham dari segi agama, politik dan sosial.

Baginda bertitah Selangor akan menjadi mundur dan rakyatnya yang berbilang kaum mungkin hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan jika tidak sama-sama mendokong dan memelihara keamanan.

"Beta menasihatkan seluruh rakyat berbilang kaum di Selangor supaya sentiasa bersabar dan janganlah menyakitkan hati antara satu sama lain.

"Jangan sekali-kali melakukan perkara fitnah-memfitnah kerana akan menimbulkan syak wasangka dan keresahan di kalangan rakyat dan seterusnya menjadikan Selangor huru-hara dengan rakyatnya tidak dapat hidup dengan aman," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-66 di Istana Alam Shah di sini, Ahad.

Sultan Selangor turut meminta kaum Melayu di negeri ini supaya bersatu padu mempertahankan Islam dan jangan sesekali berpecah-belah disebabkan ideologi dan fahaman politik berbeza. Dalam pada itu, baginda merakamkam penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti tentera dan polis yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman di Selangor.

"Beta berkenan supaya pihak polis terus meningkatkan usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri Selangor," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah lebih ramai penerima dikurniakan darjah dan bintang kebesaran pada tahun ini berbanding tahun lepas, namun jumlah itu tidak melebihi kuota ditetapkan.

Baginda, yang genap 10 tahun memerintah Selangor tahun ini, berharap penerima anugerah itu akan meneruskan sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat, institusi serta negeri Selangor.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menganugerahkan darjah dan bintang kebesaran kepada 110 orang daripada jumlah 113 penerima. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain