suria

Rakyat Perlu Terus Sokong BN:Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia telah membuktikan kemampuannya dalam memenuhi keperluan rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan BN memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum sejak dari zaman selepas merdeka lagi.

"Apa sebabnya kita nak tukar kepada parti lain? Ada orang suruh tukar sebab kononnya BN ini jahat, pencuri, penyangak, korupsi dan sebagainya tetapi mereka (parti lain) belum diuji macam kita (BN).

"Ada pepatah Inggeris kata, kita jangan sesekali cuba baiki sesuatu perkara yang sudah berjalan dengan baik kerana kalau salah baiki, nanti lain jadinya. Begitu juga dengan sokongan kepada BN... dasar pemerintahan BN yang seimbang untuk semua kaum dilihat sudah cukup baik.

"Jadi tidak perlulah tukar kepada kerajaan yang belum tentu lagi mampu membela nasib rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Umno bahagian Ampang di Dewan Datuk Setia Mufti Suib pada Ahad.

Dr Mahathir berkata rakyat perlu memberi sokongan berterusan kepada B Nkerana ia dapat membantu dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan mampu berkhidmat demi kebaikan seluruh rakyat serta membina negara yang berjaya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, beliau berkata akta itu diwujudkan demi menjaga kepentingan pelajar Melayu.

"Pada zaman itu, lebih ramai pelajar Melayu yang aktif berpolitik berbanding kaum lain. Akta itu diwujudkan untuk memastikan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran, dan seterusnya berjaya.

"Orang Melayu, sudahlah tidak ram ai yang terpelajar, bila masuk universiti sibuk berpolitik pula, bila masa nak belajar? Saya sendiri aktif berpolitik masa muda dulu, tapi apabila melanjutkan pelajaran, saya tinggalkan dunia politik hampir enam tahun dan belajar sahaja," katanya.

Pada 24 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan meminda AUKU bagi membenarkan mahasiswa menjadi anggota parti politik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain