suria

Penduduk, Haiwan Di Pulau Tioman Bebas Jangkitan Sarcocystis

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan penduduk dan haiwan di Pulau Tioman, Pahang bebas daripada jangkitan Sarcocystis, sejenis penyakit zoonotik yang disebabkan jangkitan parasit protozoa Sarcocystis.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata pemeriksaan ke atas 28 sampel klinikal, 27 sampel air dan 84 sampel najis haiwan di pulau itu semuanya adalah negatif untuk Sarcocystis.

"Hasil pemeriksaan rekod kesihatan di Pulau Tioman juga mendapati tiada kes jangkitan Sarcocystis yang dikesan di kalangan penduduk tempatan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kajian itu adalah susulan kepada notifikasi dari pihak Centers for Disease Control and Prevention (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat pada 28 Oktober lepas berkaitan kejadian 23 pengembara dari enam negara yang bercuti di Pulau Tioman antara Jun ke Ogos lepas dan mengalami gejala demam, sakit otot (myalgia) serta eosinophilia.

Katanya, siasatan mendapati satu daripada kes itu disahkan dijangkiti Sarcocystis melalui ujian persampelan otot manakala 22 lagi merupakan kes kemungkinan, dan semua kes telah sembuh sepenuhnya sama ada sembuh atau dengan mendapat rawatan secara simptomatik.

Dr Hasan berkata selain pemantauan berterusan, kementerian juga menasihatkan pengembara agar memastikan kebersihan makanan serta minuman serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun.

"Selain itu, mereka dinasihatkan meminum air yang dimasak dan hanya menggunakan air yang telah dirawat untuk membasuh bahan makanan atau membersihkan diri, makan daging yang telah dimasak dengan sempurna dan pilih untuk makan di kedai makanan yang disahkan bersih oleh pihak kesihatan," katanya.

Beliau berkata jangkitan parasit protozoa Sarcocystis biasa berlaku di negara tropika atau subtropika khususnya di Asia Tenggara, yang kebiasaannya menjangkiti haiwan liar dan peliharaan terutama lembu dan babi, namun risiko jangkitan di kalangan manusia adalah rendah.

Bagaimanapun, manusia boleh dijangkiti apabila makan makanan atau minuman yang tercemar dengan tahi haiwan yang dijangkiti dan mereka yang dijangkiti tidak akan menunjukkan tanda atau gejala.

"Namun, sebilangan kecil manusia yang dijangkiti boleh menunjukkan gejala yang ringan iaitu diarrhea ataupun sakit otot dan demam. Setakat ini, tiada vaksin atau rawatan yang khusus untuk Sarcocystis," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain